Mahathir seru ahli Umno 'paksa' Abdullah letak jawatan segera



Mahathir seru ahli Umno 'paksa' Abdullah letak jawatan segera
Wan Nordin Wan Yaacob

Sat | Jul 26, 08 | 11:52:19 am MYT
KUALA LUMPUR, 26 Julai (Hrkh) - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir
Mohamad menyeru ahli dan pemimpin Umno supaya 'memaksa' Dato' Seri
Abdullah Ahmad Badawi melepaskan jawatannya segera bagi memulihkan
Umno dan BN.

"Janganlah tunggu Pilihan Raya Umum ke-13 untuk kalahkan BN dan Umno
supaya Abdullah jatuh. Yang salah bukan BN atau Umno. Yang salah ialah
Abdullah," katanya dalam satu komentar yang tersiar dalam lama web
beliau hari ini.

"Jika ahli Umno hendak melihat parti dan BN dipulih semula, 'paksalah'
Abdullah letak jawatan sekarang. Jangan calon Abdullah di peringkat
cawangan atau bahagian," katanya.

Jika kerana cawangan dan bahagian mengizinkan Abdullah terus menjadi
Presiden Umno, yang salah ialah ahli Umno sendiri, katanya.

Mahathir mendakwa bahawa beliau masih dipersoal setiap kali
mengeluarkan kritikan terhadap Abdullah.

"Tiap kali saya mengkritik Abdullah sebagai Perdana Menteri ada sahaja
orang yang secara sinis berkata, "Awak yang lantik dia"," kata Dr
Mahathir dalam ulasan terkininya berhubung pergeseran antara beliau
dan Abdullah.

"Ya, saya mengaku salah. Saya mengaku yang saya lantik Abdullah
sebagai pengganti saya. Tetapi ahli Umno juga pilih Abdullah," ujarnya
sinis.

Abdullah pernah sebelahi Ku Li lawan Mahathir

Menurut Dr Mahathir, Abdullah memihak kepada Tengku Razaleigh Hamzah
(Ku Li) dan Musa Hitam dalam usaha untuk menjatuhkan beliau pada tahun
1986-1987.

"Apabila Team B kalah dan Umno diharamkan, Abdullah tidak menyertai
Semangat 46 tajaan Ku Li. Sebaliknya dia pilih untuk menjadi ahli Umno
baru yang saya pimpin.

"Saya tidak berhak menolaknya sebagai ahli Umno Baru. Tetapi saya
gugurkannya daripada Jemaah Menteri," katanya.

Dalam pemilihan Majlis Tertinggi yang menyusul Abdullah bertanding
untuk ahli Majlis Tertinggi, dan ketika itu katanya Mesyuarat Agung
Umno memilih Abdullah sebagai ahli Majlis Tertinggi.

"Saya masih tidak terima dia balik jadi Menteri. Di Mesyuarat Agung
selepas itu dia bertanding untuk jawatan Naib Presiden. Dia menang
dengan undi kedua terbesar jumlahnya berbanding Dato' Seri Najib Tun
Razak.

"Saya berpendapat Umno hendakkan kepimpinan Abdullah. Walau apa pun
perasaan saya terhadap orang yang bersubahat untuk jatuhkan saya, saya
tidak berhak untuk menolak kehendak Umno," katanya.

Justeru itu ujar Mahathir, beliau kembalikan Abdullah sebagai Menteri
dalam Kabinet.

Dari 'Mr Clean' kepada pemimpin yang lemah

"Puji-pujian didengar merata-rata yang Abdullah adalah "Bersih", "Mr
Clean". Oleh itu apabila saya terpaksa gugurkan Dato' Seri Anwar
Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri, saya pilih Abdullah untuk
mengisi jawatan itu walaupun Najib adalah Naib Presiden yang mendapat
undi tertinggi," katanya.

Kenapa tidak dipilih Najib?

Menurut Mahathir, beliau tidak memilih Najib kerana TPM itu lebih muda
dan beliau berharap selepas satu atau dua penggal sebagai Perdana
Menteri, Abdullah akan serahkan jawatan itu kepada Najib.

Kerana itu katanya beliau berusaha bersungguh-sungguh untuk menentukan
Abdullah pilih Najib sebagai timbalannya.

"Pemilihan Naib Presiden bukan yang pertama sebagai timbalan pernah
berlaku. Saya Naib Presiden yang ke-tiga tetapi Tun Hussein Onn pilih
saya jadi Timbalan Perdana Menteri.

"Seperti juga dengan diri saya, Mesyuarat Agung Umno mengesahkan
pemilihan Abdullah sebagai Timbalan Presiden parti dalam pemilihan
yang berikut," katanya.

Selepas itu beliau anggap penyerahan kuasa kepada Abdullah bukanlah
sesuatu yang tidak dikehendaki oleh Umno dan ketika itu tiada sesiapa
yang membantah.

"Saya jelaskan latarbelakang pemilihan Abdullah sebagai Perdana
Menteri bukan kerana hendak bersihkan diri saya. Saya rela dihukum
jika saya salah.

"Yang penting bagi saya ialah apabila kita lakukan sesuatu yang salah,
menuding jari tidak mendatangkan apa-apa faedah.

"Yang penting ialah kita cuba betulkan keadaan. Dalam perkara ini
pendapat saya ialah Abdullah perlu letak jawatan dengan sendirinya
atau dia disingkir," tegasnya.

Kerosakan yang dibuat Abdullah terhadap Umno teruk

Malah kata Mahathir, kenyataan Abdullah bahawa beliau kan serahkan
jawatan dalam parti dan kerajaan pada bulan Jun 2010 disambut baik
bahkan dengan gembira oleh hadirin serta orang ramai, Melayu dan bukan
Melayu.

"Tiada siapa yang merayu supaya dia teruskan pimpinannya. Dari ini
agak jelas yang semua pihak hendak Abdullah letak jawatan.

"Tetapi meletak jawatan dua tahun dari sekarang bermakna penggantinya
hanya mempunyai dua setengah tahun untuk pulihkan parti untuk hadapi
Pilihan Raya Umum ke-13.

"Masa ini terlalu singkat kerana kerosakan yang dibuat oleh Abdullah
kepada Umno, Barisan Nasional dan parti-parti komponennya amat teruk.
Masa yang lebih panjang diperlukan," katanya.

Jika Abdullah benar-benar sayang kepada Umno, Mahathir menyeru supaya
Abdullah rela korban dirinya untuk penggantinya berpeluang memulihkan
Umno.

Alasannya bahawa Abdullah ingin mengawasi pelaksanaan Rancangan
Malaysia ke-9 tidak boleh diterima kerana sesungguhnya kehadiran
Presiden Umno itu menyebabkan Umno dan Barisan Nasional jadi lemah,
kata Mahathir lagi.

Beliau seterusnya mengakui kesilapan kerana memilih Abdullah sebagai
penggantinya pada tahun 2003 lalu

'Mr Clean' tidak begitu 'clean'

"Sekarang saya menyesal kerana saya tidak sangka "Mr Clean" tidak
begitu clean. Saya percaya ahli dan pemimpin-pemimpin Umno di semua
peringkat yang marah saya tentu tidak ingin membuat kesalahan yang
sama," katanya.

Hari ini yang berkuasa menggantikan Abdullah hanyalah ahli dan
pemimpin-pemimpin Umno, katanya.

Ahli Umno akan bertanggungjawab terhadap kehancuran dan malapetaka
yang akan menimpa orang Melayu dan negara Malaysia, katanya.

Setelah mengetahui kekalahan teruk yang menimpa Umno dan BN di bawah
kepimpinanAbdullah, Umno masih kekalkan kepimpinannya, yang
bertanggungjawab dan salah ialah ahli dan pemimpin-pemimpin Umno
sendiri," ujarnya. /wann _
.


Quantcast