Politik wang: BPR pantau pemilihan Umno



Politik wang: BPR pantau pemilihan Umno
Jul 26, 08 5:57pm

Umno akan bekerjasama dengan Badan Pencegah Rasuah (BPR) bagi
memastikan tiada elemen rasuah wujud menjelang pemilihan parti pada
Disember ini, kata Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan
Tengku Mansor.

Beliau yang juga ahli Parlimen Putrajaya berkata ini berikutan Lembaga
Disiplin tidak mempunyai kapasiti untuk menjalankan pemeriksaan dan
tindakan disiplin akan diambil selepas mendapat laporan daripada BPR.

"Lembaga Disiplin tidak mempunyai kapasiti untuk membuat pemeriksaan.
Selepas BPR membuat pemeriksaan, kita akan menghantar laporan itu
kepada Lembaga Disiplin untuk mengambil tindakan disiplin.

"Itu yang akan kita lakukan kerana Lembaga Disiplin tidak mempunyai
mekanisme untuk memeriksa di mana mereka yang terbabit mendapatkan
wang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Umno
cawangan Matahari di Presint 8 di Putrajaya hari ini.

Bernama melaporkan beliau berkata langkah itu juga sebagai menunjukkan
keseriusan kerajaan membanteras politik wang kerana bimbang jika wujud
unsur sedemikian ada pemimpin "diperkudakan" orang tertentu.

"Kita nak membanteras politik wang kerana kita takut bila ada unsur
politik wang, ada orang yang memperkuda-kudakan orang.

'Jadi boneka'

"Saya benarkan awak ditaja, bertanding menentang orang lain kemudian
dia bagi duit. Jadi, bila dia menang, dia akan jadi boneka," katanya.

Tengku Adnan berkata jawatankuasa bagi memantau perjalanan mesyuarat
cawangan telah ditubuhkan yang akan menyelesaikan masalah berbangkit
selain politik wang.

Sehubungan itu, katanya tidak semua masalah yang timbul akan dibawa ke
Lembaga Disiplin bagi membolehkan keputusan dibuat dengan segera.

"Kita akan bawa ke jawatankuasa pengurusan untuk memutuskan jika
cawangan itu tak cukup korum, tak bagi orang masuk, sekat orang,
(jadi) jawatankuasa yang khusus ditubuhkan di Ibupejabat akan meneliti
semua perkara ini.

"Kita serah kepada jawatankuasa pengurusan untuk menentukan mengikut
lunas perlembagaan. Jika perlu mesyuarat semula, mesyuarat semula dan
jika cawangan atau bahagian itu perlu digantung, digantung," katanya.
.