Geli-geleman muzakarah PAS-Umno
- From: Penapis <khairy.jamaluddin@xxxxxxxxxxxx>
- Date: Fri, 25 Jul 2008 08:48:23 -0700 (PDT)
Geli-geleman muzakarah PAS-Umno
Amin Iskandar | Jul 22, 08 6:40pm
Abdullah Ahmad Badawi kelmarin membuat kejutan dan berjaya menyeret
perbincangan politik hari ini kepada isu muzakarah antara Umno dengan
PAS apabila mendedahkan terdapat tiga pertemuan pemimpin-pemimpin
tertinggi PAS dengannya.
Selain daripada itu, presiden Umno turut menyemarakkan pertembungan
dalam PAS apabila memberitahu bahawa pertemuan tersebut tidak
melibatkan menteri besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga
mursyidul am PAS.
Sebagai reaksi kepada kenyataan perdana menteri, exco kerajaan
Kelantan, Husam Musa menyifatkan tindakan Abdullah mendedahkan tentang
terdapatnya pertemuan sebanyak tiga kali dengan pemimpin PAS sebagai
satu cara "menabur benih perpecahan" dalam PAS.
Naib presiden PAS itu juga mendakwa tindakan Abdullah tersebut sebagai
satu usaha memperkuatkan kedudukannya dalam pergolakan dalaman Umno
yang tidak menentu dan meminta agar pimpinan PAS berhati-hati dengan
perangkap tersebut.
Sementara itu, presiden PAS Abdul Hadi Awang dalam kenyataannya yang
disiarkan di Harakahdaily.net tidak menafikan terdapatnya pertemuan
antara pemimpin tertinggi PAS dengan Abdullah.
Beliau yang sebelum ini berdolak-dalik mengenai isu pertemuan
tersebut, mengakui bahawa timbalannya Nasharuddin Mat Isa, pesuruhjaya
PAS Terengganu, Mustafa Ali dan timbalan pesuruhjaya PAS Selangor,
Khalid Samad bertemu dengan presiden Umno buat kali pertama sejurus
selepas pilihanraya umum 8 Mac lalu.
Abdul Hadi menambah, pertemuan yang telah mendapat persetujuan majlis
syura ulama PAS itu bertujuan membincangkan mengenai kepentingan umat
Islam dan orang Melayu di negara ini.
Khabar angin tentang terdapatnya pertemuan antara Umno dan PAS telah
berlegar-legar sebaik sahaja selepas pilihanraya umum lalu.
Antaranya yang paling popular, mengenai pertemuan antara pesuruhjaya
PAS Selangor, Dr Hasan Ali dengan bekas menteri besar Dr Mohamad Khir
Toyo untuk membincangkan tentang penubuhan kerajaan campuran PAS-Umno
di negeri itu sebaik sahaja keputusan pilihanraya umum ke-12
diketahui.
Dikatakan Khir bersetuju untuk menyerahkan jawatan menteri besar
kepada Hasan dan sanggup turun pangkat menjadi timbalan menteri besar
jika kerajaan campuran dua parti Melayu itu berjaya dibentuk di
Selangor.
Namun usaha ini dikatakan gagal kerana presiden PAS tidak bersetuju
dan menyokong Khalid Ibrahim untuk mengepalai kerajaan Pakatan Rakyat
di negeri itu.
Ketika khabar angin ini kencang bertiup, saya mengambil sikap tidak
mempedulikannya kerana menyangka ia hanyalah taktik kotor polis
Cawangan Khas (SB) dari Bukit Aman yang menyebar-nyebarkan khabar
angin untuk memecah-belahkan Pakatan Rakyat yang baru sahaja
memerintah beberapa negeri di Malaysia.
Tambahan lagi, saya langsung tidak menyangka bahawa terdapat golongan
tertentu dalam PAS yang mempunyai niat untuk membawa parti tersebut
menyertai BN.
Di kala terdapat parti komponen BN yang ingin mengusulkan undi tidak
percaya kepada gabungan yang dipimpin oleh Abdullah, masakan PAS ingin
menjadi penyelamat kepada gabungan yang hampir terbarai itu?
Ketika Umno yang memimpin BN hilang kredibiliti dan sokongan daripada
rakyat terutamanya masyarakat bandar, masih ada pemimpin PAS yang cuba
menyelamatkan mereka dengan menggunakan hujah "penyatuan umat Islam
dan perpaduan Melayu".
Rasa geli-geleman apabila mendengar hujah ini.
Hujah sama yang sering digunakan oleh Umno untuk menghalalkan tindakan
merompak harta kekayaan negara, menaikkan harga minyak dengan sewenang-
wenangnya, menggunakan akta ISA termasuk menangkap ramai pemimpin PAS,
membunuh kerana kepentingan politik seperti tragedi Kampung Memali
pada 1985, memperbodohkan rakyat terutamanya orang-orang Melayu dan
banyak lagi yang tidak mungkin dapat disenaraikan di sini.
Sebenarnya, idea menyatukan Umno dan PAS ini idea lama yang dipelopori
oleh Abdul Razak Hussein, perdana menteri Malaysia kedua. Pada ketika
itu, Perikatan mengalami kemerosotan yang teruk dalam pilihanraya umum
1969.
Perikatan hilang kuasa majoriti di parlimen buat kali pertama dalam
sejarah pada pilihanraya yang diadakan pada 10 Mei 1969.
Prestasi buruk Perikatan telah mendorong kepada berlakunya tragedi
berdarah 13 Mei yang melibatkan kaum Melayu dan Cina. Tragedi tersebut
menyebabkan parlimen digantung dan penubuhan Majlis Gerakan Negara
(Mageran) yang dipimpin oleh Abdul Razak.
Setelah berjaya mendapatkan kuasa daripada Tunku Abdul Rahman, bapa
Najib memulakan usaha menarik PAS masuk dalam Barisan Nasional, satu
“formula baru” yang dicetak rompak daripada Barisan Sosialis untuk
menggantikan Perikatan.
Alasan membawa masuk PAS bersama BN bertujuan menyatupadukan orang
Melayu dan umat Islam di negara ini. Pada ketika itu PAS dipimpin oleh
Mohd Asri Muda setelah beliau mengambil alih jawatan yang dipertua
daripada Dr. Burhanuddin Al-Helmy.
Selain PAS, PPP dan Gerakan juga dibawa masuk menyertai BN setelah
Mageran dibubarkan.
Apabila Umno kembali kuat dan merasakan PAS mencabar kedudukan mereka,
PAS dipecat daripada BN pada 14 November 1977. PAS ditendang keluar
sebelum cukup lima tahun berada dalam BN!
Hari ini, kecuali rusuhan berdarah, keadaan seakan-akan sama dengan
apa yang berlaku selepas pilihanraya umum 1969. BN hilang kuasa dua
pertiga di parlimen dan beberapa negeri jatuh kepada Pakatan Rakyat.
Umno semakin lemah, sementara MCA dan MIC hilang banyak kerusi
termasuk kerusi tradisi mereka.
Hari ini, anak Abdul Razak sudah di tangga timbalan perdana menteri.
Beliau sekarang dalam keadaan yang sama seperti ayahnya selepas
pilihanraya 1969. Cuma beliau agak malang sedikit kerana pada ketika
ini, kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu sering menghantuinya –
walaupun beliau dan isterinya menafikannya – sekali gus membantutkan
usahanya untuk merampas kekuasaan daripada Abdullah.
Sebab itu, tidak menghairankan jika pada hari ini, jalan cerita yang
ingin dimainkan masih sama.
Seperti juga Mukhriz Mahathir yang membawa watak yang pernah
dilakonkan oleh ayahnya pada 1969 apabila menulis surat meminta
Abdullah meletakkan jawatan dan membocorkannya kepada media.
Hanya pengarah dan pelakonnya berbeza.
Tidak hairanlah jika Nik Aziz benar-benar tidak bersetuju dan marah
dengan usaha-usaha segelintir pemimpin PAS untuk berunding dengan
Umno. Beliau tidak mahu luka lama berdarah kembali.
Dalam kenyataannya yang disiarkan oleh Global Media Channel, Nik Aziz
menentang muzakarah antara PAS dan Umno kerana tidak mahu sejarah
hitam ketika PAS menyertai BN dahulu berulang semula.
Mursyidul Am PAS juga mengatakan bahawa muzakarah PAS-Umno hanya akan
menyebabkan penyokong PAS peringkat bawahan marah dan pimpinan Pakatan
Rakyat mencurigai parti tersebut.
Nik Aziz yang marah dengan muzakarah PAS-Umno turut bersetuju jika
Umno lenyap terus darii muka bumi ini.
Kepada pihak PAS yang pro-muzakarah pula, selain agenda Melayu dan
perpaduan umat Islam, apakah mereka turut membincangkan tentang
pemansuhan akta ISA?
Apakah Umno bersedia memohon maaf atas tindakan mereka memenjarakan
pemimpin-pemimpin PAS bawah ISA? Apakah dalam perbincangan tersebut,
Umno turut bersetuju untuk memohon maaf secara terbuka mengenai
jenayah mereka terhadap ahli PAS di Memali, Kedah?
Apakah Nasharuddin – yang pernah memimpin demonstrasi membantah
kenaikan harga minyak pada 2006 sebaik sahaja kerajaan menaikkan harga
minyak sebanyak 30 sen dengan menjeritkan slogan BN = Barang Naik –
telah berjaya diyakinkan bahawa harga minyak akan diturunkan sebaik
sahaja PAS menyertai BN semula?
Jika pertemuan tiga kali antara pemimpin PAS dan Abdullah hanya
membincangkan tentang pengagihan jawatan dan usaha memecahkan Pakatan
Rakyat, ia tidak layak dipanggil muzakarah.
Ia lebih sesuai dipanggil "mu*****ah".
.
- Prev by Date: Re: Proton has no class? LOL
- Next by Date: Tahun Meliwat Malaysia
- Previous by thread: Proton has no class? LOL
- Next by thread: Barbara Schwarz about cyber defamers
- Index(es):